bule anakna oreng phebien . ORANG BAWEAN MENCARI NASIB DI NEGARA ORANG - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » ORANG BAWEAN MENCARI NASIB DI NEGARA ORANG

ORANG BAWEAN MENCARI NASIB DI NEGARA ORANG

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 11:29 PG



ORANG BAWEAN MENCARI NASIB DI NEGARA ORANG



Daripada: Zulikifli hamzah

PULAU Bawean yang terletak 156 kilometer sebelah utara daerah Gresik, Jawa Timur di kalangan rakyat Indonesia popular dengan gelaran Pulau Puteri dan pulau ramai janda kerana lelakinya merantau ke Malaysia mahupun Singapura.

Gelaran Pulau Puteri ada benarnya. Tetapi cerita pulau janda dan perceraian hanya dibuat melalui surat atas alasan jarak, disanggah oleh penduduk tempatan yang menyatakan Bawean merupakan kelompok masyarakat yang taat terhadap ajaran agama Islam.

Di mana-mana pelosok pulau berkeluasan 194.11 kilometer persegi dan berpenduduk 59,500 orang ini, sebahagian besar lelaki merantau sehingga pulau ini didominasi golongan wanita dan anak-anak.

``Kalaupun ada lelaki, mereka ialah golongan tua atau penduduk Bawean keturunan Jawa yang bekerja sebagai nelayan dan menanam padi. Perantau Bawean di Malaysia jumlahnya lebih ramai berbanding penduduk Bawean sendiri,'' kata Arifin Abdullah, penduduk Bawean yang kini tinggal di Gresik.

Setelah berjaya di perantauan, orang Bawean membawa bersama keluarga mereka meninggalkan pulau ini. Di daerah perantauan, mereka menubuhkan persatuan dan bersama-sama membangun perkampungan yang biasanya di panggil Kampung Boyan seperti banyak terdapat di Malaysia.

Tetapi tradisi orang Bawean, jarang yang melupakan asal usul mereka. Walaupun sebahagiannya telah mendapat taraf penduduk tetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan tetapi tidak melupakan Bawean.

Bawean bagi mereka, bukanlah tempat untuk hidup tetapi untuk lahir dan mati. Anak-anak berusia remaja akan dihantar di negara-negara jiran untuk menjadi pekerja bangunan, restoran, kilang atau ladang kelapa sawit.

Uniknya sangat jarang yang memilih bekerja sebagai pembantu rumah. Jumlah penduduk Bawean yang berada di negara asing dikatakan lebih 400,000 orang. Seorang penduduk, Asnawi, 52, yang menghabiskan masa 23 tahun merantau ke negara orang berkata, orang Bawean hanya menjadikan kampung mereka tempat persinggahan atau percutian bukan tempat tinggal.

``Mereka akan pulang sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun. Kalau Hari Raya Aidilfitri, anda akan melihat suasana Pulau Bawean jauh berbeza kerana meriah dengan para perantau,'' katanya yang kini membuka tempat penginapan, restoran dan warung telefon (wartel).

Asnawi menimba pengalaman menjadi kelasi sebelum bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia. Dia berhenti menjadi kelasi pada 1982 dan bekerja di Malaysia. Sebut sahaja mana kawasan Malaysia, semuanya telah dikunjunginya.

Lima tahun lalu, dia memutuskan menetap di Bawean untuk menjaga ibunya yang sudah tua dan membesarkan dua anaknya, masing-masing berumur enam dan lima tahun dari perkahwinan keduanya.

Dua anak Asnawi dari perkahwinan pertama kini berada di Singapura dan seorang lagi memilih menjadi rakyat Malaysia. Perjalanan hidup Asnawi merupakan contoh kisah hidup masyarakat Bawean. Mengumpulkan harta di Malaysia atau negara asing lainnya dan melaburkan untuk membina rumah, membeli tanah atau aset-aset lainnya di Bawean.
Bertambah kaya

``Rumah-rumah batu yang tersergam indah ini ialah hasil dari Malaysia. Kalau mengharapkan ekonomi Bawean, tidak mungkin mereka dapat membina rumah sebesar ini,'' kata Arifin dan Asnawi yang menemani Mingguan Malaysia meninjau perkampungan Bawean.
Bagi masyarakat Bawean, ekonomi di pulau itu sangat bergantung kepada Malaysia, bukannya Indonesia.

``Tidak ada Malaysia, tidak adalah Bawean. Semasa krisis ekonomi teruk melanda Indonesia pada tahun 1997, penduduk Bawean bertambah kaya kerana kadar pertukaran ringgit dengan rupiah semasa itu sangat tinggi,'' kata Asnawi.

Orang Bawean yang merantau hampir semuanya berjaya, jika dinilai dari harta benda yang mereka miliki. Mereka yang dulunya bekerja hanya untuk makan kini mampu membeli harta benda yang sekali gus telah meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Orang Bawean kini lebih kaya daripada para pedagang dari Palembang, kelompok masyarakat minoriti di pulau ini yang dipanggil dengan sebutan orang Kemas oleh masyarakat setempat.

``Dahulu mereka dihormati sebagai pedagang kaya di Bawean. Tetapi sekarang tidak lagi. Kini yang lebih kaya ialah masyarakat Bawean yang sebahagian besar bekerja di Malaysia dan Singapura,'' jelasnya.

Di kebanyakan kampung pula, penduduk menggelarnya Kampung Malaysia kerana majoriti penduduknya bekerja di negara itu. Malah di beberapa batang jalan di kampung-kampung yang dibina secara gotong-royong hasil pendapatan dari Malaysia diberi nama Mahathir Mohamad.

``Anda boleh melihat jalan kampung biasanya lebih cantik dari jalan utama yang dibina oleh pemerintah Indonesia. Kalau tidak ada Malaysia, tidak mungkin masjid, sekolah, jalan dan rumah atau prasarana awam lainnya seperti yang dapat dilihat sekarang,'' kata Arifin.
Seperti menjadi kemestian bagi masyarakat Bawean untuk membina rumah batu bagi membuktikan kejayaan mereka walaupun di Malaysia mereka hanya tinggal di rumah-rumah setinggan atau rumah kongsi.

Fenomena ini menyebabkan banyak rumah mewah yang tersergam dibiarkan kosong kerana penghuninya berada di Malaysia. Ungkapan kerja sehari di Bawean tidak cukup untuk makan sehari tetapi di Malaysia cukup bagi seminggu bahkan sebulan merupakan alasan utama mereka merantau ke Malaysia. Pekerjaan utama di Bawean ialah pertanian dan nelayan.
Menurut cerita penduduk, bagi orang Bawean menyimpan mata wang ringgit atau dolar seperti menyimpan emas kerana nilainya tidak mudah turun berbanding rupiah.

Menjadi tradisi setiap kali pulang, para perantau selain membawa wang tunai akan mengangkut pelbagai peralatan rumah tangga dan kenderaan yang dibeli dari Gresik dan Surabaya untuk digunakan oleh ahli keluarga yang masih tinggal di pulau ini.

``Jika tidak ada Malaysia, Bawean tidak akan menjadi seperti sekarang. Saya boleh katakan 70 peratus ekonomi Bawean diatur dari Malaysia,'' kata Buang Guntur, 47, orang pertama membuka pasar mini di Bawean pada tahun 2000.

Buang yang mengaut keuntungan berniaga pakaian dan barang kemas di Malaysia serta menjadi pengawal (perkhidmatan mengirim wang) merupakan antara contoh masyarakat Bawean yang berjaya. Kini dia menumpukan usaha perniagaan pasar mini dan kontraktor.

Berkat usahanya itu yang bermodalkan hasil dari Malaysia, dia mampu hidup senang dan menyekolahkan tiga anaknya di institusi pengajian tinggi di Indonesia Berada di Bawean seperti berada di Malaysia. Selain lagu-lagu Siti Nurhaliza, hampir semua penduduk pulau ini mempunyai kaitan dengan Malaysia. Jika tidak bekerja di Malaysia, pasti ada saudara-mara mereka merantau di negara berkenaan.

Mereka seronok bercerita tentang Kampung Pandan, Ampang, Jalan Klang Lama, Cheras dan Gombak yang merupakan antara penempatan utama masyarakat Bawean di Malaysia. Setiap kali bertemu orang Bawean, pertanyaan pertama ialah di Malaysia tinggal di mana.

``Masyarakat Bawean lebih mahir bercerita selok-belok Kuala Lumpur berbanding Surabaya (ibu kota Jawa Timur) apatah lagi Jakarta. Kami semua bersyukur atas rezeki yang kami peroleh dari Malaysia,'' ujar Asnawi.

Orang-orang Bawean dikatakan merantau ke Malaysia dan Singapura sejak tahun 1830, lama sebelum penghantaran secara rasmi tenaga kerja Indonesia ke Malaysia. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ramai yang sering pulang kerana takut menghadapi kesukaran untuk memasuki semula Malaysia.






Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]