bule anakna oreng phebien . AHLI PERLIMEN JADI TONTONAN RAKYAT - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » AHLI PERLIMEN JADI TONTONAN RAKYAT

AHLI PERLIMEN JADI TONTONAN RAKYAT

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 11:23 PG



Gelagat ahli parlimen jadi tontonan rakyat




Oleh Zulkefli Hamzah (Di Jakarta, Indonesia)

SEMASA menonton siaran berita mengenai tingkah laku anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang bertindak di luar etika pada sidang membahas kenaikan harga minyak pada 16 Mac lalu, para penumpang feri Pulau Bawean-Gresik bersorak-sorai.

Pada wajah para penumpang tidak tergambar rasa gelisah atau marah dengan sikap beberapa wakil rakyat yang berteriak kasar, meluru ke meja pengerusi dan siku-menyiku untuk membantah sikap Dewan yang tidak memerhatikan bantahan mereka.

Mereka hanya tertawa menyaksikan adegan itu. Ada yang membuat komen, betullah seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Gur) bahawa DPR tidak ubah seperti taman didikan kanak-kanak.

``Parlimen Indonesia sudah menjadi seperti Parlimen di Taiwan. Mujurlah belum sampai sehingga tumbuk-menumbuk atau melempar kasut,'' komen seorang penumpang.
Dari reaksi mereka, banyak yang tidak melihat peristiwa itu sebagai kejadian memalukan tetapi sebaliknya menikmati kekecohan tersebut sebagai sebuah tontonan mengasyikkan.
Mungkin reaksi para penumpang feri ini boleh dijadikan gambaran rasa kurang yakin terhadap wakil rakyat mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat kecil yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak.

Walhal bantahan terbuka fraksi-fraksi parti politik di DPR sehingga menimbulkan kekecohan ini sepatutnya menjadi lambang gigihnya perjuangan ahli Parlimen untuk membela nasib rakyat.

Dan jika diteliti lebih dalam, timbul pertanyaan mengenai kerjasama Parlimen dengan pemerintah terutama dalam mengambil keputusan yang mempunyai implikasi luas terhadap kehidupan rakyat.

Di luar Dewan, reaksi rakyat yang membantah kenaikan itu juga sama. Panas dan meluas. Rakyat mengeluh kerana kenaikan harga minyak telah menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan lainnya.

Di kebanyakan tempat, para penunjuk perasaan yang majoritinya kumpulan mahasiswa membakar gambar Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden, Yusuf Kalla. Ada pula yang mengarak keranda Susilo dan Yusuf sebagai simbol pemimpin mereka tidak lagi memerhatikan nasib rakyat.

Di dalam dan di luar Parlimen, suasananya sama. Panas dengan kecaman dan kritikan yang emosional terhadap keputusan pemerintah untuk tetap menaikkan harga minyak.

Mungkin ada benarnya pendapat seorang diplomatik asing yang menyatakan demokrasi yang terbentuk di Indonesia sejak lima tahun ini telah menjadi demokrasi yang sukar dikawal.
Bantahan terhadap kenaikan harga minyak ini sama ada di jalanan atau di Parlimen sebenarnya bukan kali pertama. Pada tahun 2003, pemerintah dan DPR juga tidak sependapat dengan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Kemarahan
Bagaimanapun bantahan dan ketegangan hubungan antara DPR dan pemerintah reda bersamaan dengan menurunnya semangat penunjuk perasaan untuk meneruskan protes mereka.

Mungkinkah suasana seperti ini akan berulang semula? Mungkinkah kekecohan yang berlaku di DPR itu hanya sekadar untuk mengalihkan perhatian bagi meredakan bantahan dan kemarahan masyarakat?

DPR pada sidang itu akhirnya membuat keputusan yang tidak jelas iaitu kenaikan perlu diteliti semula dalam perbahasan Bajet 2005 yang dijadual berlangsung bulan depan.

Mungkin di atas kertas, keputusan ini paling selamat buat DPR dan pemerintah tetapi kenyataannya, harga pelbagai barangan dan perkhidmatan telah terlanjur mengalami kenaikan.

Rakyat melihat demokrasi yang dibangun di negara ini yang seharusnya membuka jalan lebih luas ke arah kesejahteraan sehingga sekarang belum nampak hasilnya. Jumlah rakyat miskin dan kadar pengangguran dilaporkan semakin bertambah.

Tambah memburukkan keadaan dalam suasana bantahan kenaikan harga minyak dan kemarahan rakyat berhubung tuntutan bertindih di Laut Sulawesi, para anggota Dewan menuntut kenaikan gaji.

Mereka menuntut kenaikan gaji satu kali ganda sebanyak RM6,800 daripada yang mereka peroleh sekarang RM6,800 dan bonus RM4,500. Jika kenaikan itu diluluskan anggota DPR akan menikmati gaji dan bonus sebanyak RM18,100.

Gaji sebesar itu bagi ukuran negara lain mungkin kecil tetapi dalam suasana sekarang, tuntutan itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang menyifatkan ia hanya menambah beban rakyat.

Menurut data rasmi dari Badan Pusat Statistik 2004, penduduk miskin Indonesia telah mencapai jumlah 36.1 juta orang - angka kemiskinan yang sama pada 15 tahun yang lalu.


Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]