bule anakna oreng phebien . MALAYSIA TEMPAT MENCARI REZKI - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » MALAYSIA TEMPAT MENCARI REZKI

MALAYSIA TEMPAT MENCARI REZKI

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 11:19 PG


MALAYSIA TEMPAT MENCARI REZKI




DUA tahun lalu, penduduk Pulau Bawean yang dianggarkan kira-kira 63,000 orang tidak pernah mengenali apa itu roti canai dan teh tarik. Bagi mereka, makanan dan minuman tersebut tidak terdapat dalam diari kehidupan sejak turun-temurun.

Tambahan pula, roti canai dan teh tarik tidak boleh didapati atau dijual di pulau berkenaan dan tiada siapa pun penduduk Pulau Bawean yang pandai menghasilkan makanan tersebut.

Namun, kini keadaan semuanya sudah berubah. Roti canai dan teh tarik kian popular dan menjadi sebutan penduduk Pulau Bawean. Setiap pagi mahupun malam hari, makanan serta minuman berkenaan menjadi pilihan penduduk Pulau Bawean.

Jika ada pengunjung luar seperti dari Malaysia datang ke pulau ini, pasti penduduknya akan menyebut serta menawarkannya kepada para pengunjung.

Roti canai dan teh tarik di Pulau Bawean bukan sahaja diterima oleh penduduknya, malah sering dikaitkan dengan nama Malaysia kerana makanan dan minuman itu dipelajari oleh penduduk tempatan pulau ini ketika mereka bekerja di Malaysia.

Apa yang mereka pelajari itu, telah dibawa pulang ke Pulau Bawean dan dihasilkan sendiri untuk dinikmati pula oleh penduduk setempat.

Sawiya Sawafi, 32, pernah bekerja di sebuah restoran di Kampung Pandan, Kuala Lumpur sejak tahun 1990 manakala suaminya, Aspadi Matawi, 38, pula bekerja sebagai buruh binaan di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Ketika bekerja sebagai pelayan di restoran itulah Sawiya sering melihat majikannya membuat roti canai dan teh tarik walaupun dia sekali-kali tidak dibenarkan menyediakan makanan serta minuman tersebut.
``Sepanjang bekerja sebagai pelayan kedai makan di Malaysia, saya sering melihat majikan saya membuat roti canai dan teh tarik walaupun majikan saya tidak mahu mengajarnya kepada saya.

``Namun ketika bekerja di gerai berhampiran DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), saya berkesempatan mencuba membuat roti canai dan menyediakan teh tarik.

``Lama-kelamaan saya mendapat kemahiran menghasilkan roti canai dan teh tarik.
``Setelah pulang ke Pulau Bawean dua tahun lalu, saya dan suami memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual roti canai dan teh tarik.

``Pada mulanya memang penduduk Pulau Bawean sukar menerima makanan dan minuman itu tetapi setelah beberapa bulan, ia mula menjadi kegemaran penduduk setempat,'' katanya ketika ditemui di kedai makannya di Pudakit Timur, Pulau Bawean.

Berkat kesabaran, Sawiya kini mampu menjual kira-kira 600 keping roti canai setiap hari dengan tumpuan pengunjung ialah pada malam hari selepas mereka penat bekerja pada siang harinya.

Menurutnya, untuk memastikan roti canainya memenuhi cita rasa penduduk dan selazat seperti yang dijual di Malaysia, dia akan menggunakan minyak sapi dan serbuk kari yang dibawa dari Malaysia.
``Kuah dal bagaimanapun saya tidak dapat hasilkan kerana bahannya sukar diperoleh. Roti canai ini hanya disajikan dengan kuah kari sahaja.

``Bagaimanapun, untuk membuat roti canai, sering kali minyak sapi dari Malaysia sukar diperoleh, jadi saya terpaksa menggunakan bahan yang hampir sama sebagai pengganti,'' katanya.
Jelasnya, kejayaannya berniaga roti canai dan teh tarik semuanya kerana pengalamannya bekerja di Malaysia.

``Begitu juga dari segi modal, saya dan suami dapat mengumpul wang hasil kerja di sana dan membuka kedai makan serta mendirikan rumah baru untuk kami di pulau ini.
``Jika saya dan suami tidak bekerja di Malaysia, pasti nasib kami tidak akan berubah seperti sekarang. Saya dan suami bukan sahaja membawa pulang wang, malah kemahiran membuat roti canai dan teh tarik,'' katanya.

Tambahnya, sejak roti canai dan teh tarik diperkenalkan buat pertama kalinya di Pulau Bawean, kini terdapat sekurang-kurangnya lima kedai makan lain mengikuti jejaknya memperkenalkan makanan serta minuman tersebut.
``Tambahan pula ramai penduduk di pulau ini masih bekerja di Malaysia dan apabila mereka pulang ke sini, pasti makanan dan minuman itu dicari-cari bagi memenuhi selera,'' katanya.

Perubahan hidup pasangan suami isteri itu turut dikongsi oleh Gufal Borhan bersama isterinya, Ernya Murniasih, 31, serta anak mereka yang berusia empat setengah tahun. Gufal masuk ke Malaysia pada tahun 1993 dan bekerja di Johor sebagai buruh serta melakukan lain-lain pekerjaan. Tambahan pula, bapanya sudah lama menetap di Johor.

Selama hampir tiga tahun bekerja di Johor dan hasil yang diperoleh telah dibawa pulang hinggakan beliau mampu membina sebuah rumah batu, membeli peralatan rumah, motosikal dan banyak lagi.

``Peluang ketika bekerja di Malaysia juga memberi peluang kepada saya untuk membawa tenaga kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia.
``Ini mendatangkan pendapatan lumayan,'' katanya.

Gufal berpandangan, sejak bekerja di Malaysia, kehidupannya berubah dan mampu menghantar wang untuk keluarga di Pulau Bawean.
``Tidaklah keterlaluan untuk saya katakan bahawa penduduk di pulau ini mempunyai dua kerajaan.

``Kami bukan sahaja bergantung pada Indonesia, malah Malaysia juga.
``Disebabkan ramai penduduk pulau ini bekerja di Malaysia, ekonomi kami turut bergantung pada Malaysia. Semasa berlaku kegawatan pada tahun 1997, kedudukan ekonomi Malaysia menentukan keadaan kami.

``Jika ekonomi Malaysia dapat bertahan, kami juga sama. Jika ekonomi Indonesia jatuh, kami tidak terasa kerana hasil yang dibawa ke pulau ini adalah dari Malaysia,'' katanya.
Buang Guntur, 47, juga mengakui perubahan taraf hidup dan kedudukan ekonomi keluarganya juga adalah hasil dia bekerja di Malaysia.

Dia bukan sahaja membawa pakaian dan barangan lain untuk dijual kepada TKI di Malaysia, malah menjadi orang tengah untuk mengirim wang ke kampung-kampung.
``Saya menjadi orang tengah untuk membawa wang pulang ke Pulau Bawean. Setiap kiriman itu saya diberikan komisen 10 peratus.

``Ketika itu di pulau ini belum ada bank. Sayalah yang jadi orang perantaraan. Hasilnya, saya kini dapat membina rumah batu serta membuka sebuah pasar mini dan sebuah kedai runcit,'' katanya.

Sebelum ini memang belum ada pasar mini, tindakan Buang itu menjadi perintis kepada kewujudan pasar mini pertama di Pulau Bawean.
Banyak lagi pengalaman dan perubahan hidup dilalui oleh rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Rata-rata usaha bekerja di Malaysia telah membawa perubahan besar dalam hidup mereka.
Lalu Kaharuddin, 34, pernah masuk ke Malaysia dan bekerja sebagai pemetik buah kelapa sawit di Karak pada tahun 1999.

Dia tidak mempunyai cita-cita yang amat besar seperti orang lain untuk menjadi kaya-raya.
``Tiga tahun saya bekerja di Malaysia. Saya hanya mahu mengumpul wang dan membeli sebuah kenderaan untuk dijadikan pengangkutan awam.

``Selepas pulang ke Kampung Barat Kokok Majidi di Mataram, saya dapat mengumpul wang Rp30 juta (RM12,500) untuk dijadikan deposit membeli kenderaan. Saya terpaksa bekerja sebagai pemandu kerana di sini tidak ada sebarang pekerjaan.

``Dengan kenderaan inilah saya kini mencari rezeki dengan pendapatan bersih kira-kiri Rp500,000 (RM220 sebulan) untuk menampung isteri dan tiga anak saya,'' katanya.
Jamohor Muhamad Sanudin, 40, dari Desa Jelatang Gegerung, Mataram, juga pernah bekerja di Pahang dari tahun 1999, sebelum pulang ke kampung halamannya pada tahun 2002.

``Saya terpaksa meninggalkan isteri serta empat anak semaa-mata mahu mencari rezeki.
``Di desa ini tidak ada pekerjaan. Saya terpaksa menganggur. Kalau ada pekerjaan pun, pendapatannya sehari Rp12,000 (RM5). Tapi ketika bekerja di ladang kelapa sawit di Pahang, saya beroleh RM12 sehari.

``Hasil itu dapat saya hantar ke kampung dan membayar segala hutang piutang yang ditanggung selama ini. Saya juga dapat membina rumah secara sikit-sikit.

``Kini setelah pulang enam bulan lalu, saya masih sukar mendapatkan pekerjaan. Mungkin saya terpaksa masuk semula ke Malaysia untuk bekerja,'' katanya.

Banyak lagi pengalaman yang dapat diceritakan oleh kebanyakan warga Indonesia yang pernah bekerja di Malaysia.

Bagi mereka, kemiskinan hidup dan tiada pekerjaan menyebabkan mereka terpaksa masuk ke Malaysia walaupun dalam keadaan terdesak sama ada secara sah atau haram.

Jika mereka dapat bekerja di Malaysia, pasti hasil yang diperoleh membolehkan mereka membawa pulang dan membina kehidupan baru bersama keluarga. Ini termasuklah membina rumah, membeli kenderaan dan menyekolahkan anak-anak.

Untuk ke Malaysia, mereka ini terpaksa meminjam antara Rp3 juta (RM1,250) hingga Rp5 juta (RM2,080). Pinjaman itu pula perlulah dibayar berganda.

Namun demi mencari perubahan hidup dan sesuap nasi, semua itu terpaksa diketepikan dengan merantau ke Malaysia. Bagi mereka, syurga pekerjaan berada di Malaysia.-AS





Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]