bule anakna oreng phebien . JASNI AHMAD DITRTAWAKAN DI SINGAPURA KERANA BERKETURUNAN BAWEAN - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » JASNI AHMAD DITRTAWAKAN DI SINGAPURA KERANA BERKETURUNAN BAWEAN

JASNI AHMAD DITRTAWAKAN DI SINGAPURA KERANA BERKETURUNAN BAWEAN

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 11:37 PG




JASNI AHMAD DITRTAWAKAN DI SINGAPURA KERANA BERKETURUNAN BAWEAN











Bukan hanya kerana fakta yang menarik dan tepat susah diperoleh, bahkan kesahihan sesuatu maklumat atau fakta itu sukar untuk dibuktikan.

Begitulah dengan seorang penyanyi lama yang bernama Jasni Ahmad yang berketurunan Bawean.

Pengumpul maklumat bintang lama, Mohammad Hashim memberitahu, penyanyi itu pernah ditertawakan penonton pada tahun 1938 di Happy World, Singapura dalam satu peraduan merebut juara lagu keroncong peringkat amatur.

Itulah satu kenangan yang dialami oleh Jasni ketika dia berusia dalam lingkungan 20 tahun.
"Tetapi kekalahan itu telah mencekalkan azamnya untuk bertanding lagi pada tahun berikutnya dan memperoleh tempat pertama.

"Penonton yang ketawa tidak memalukannya dalam usahanya memenangi pertandingan itu,'' ujar Mohammad.

Menurut beliau, Jasni ingin menjadi masyhur sama seperti kemasyhuran S. Abdullah yang baru tiba di Singapura dan menunjukkan kehebatannya menyanyi. Itulah cita-cita yang dipendam dalam hatinya.

Jasni tahu bahawa suaranya yang tersekat-sekat ketika menyanyi telah menyebabkan dia tewas dan peristiwa itu tidak pernah dilupakan seumur hidupnya.

"Dia terus berlatih mengawal suara agar kisah hitam tidak berulang lagi semasa menyanyi, bertanding atau merakamkan lagu.

"Walaupun dia berusaha mengatasi masalah ini, namun terdapat juga dua tiga buah lagu rakamannya masih jelas kedengaran suaranya tersangkut-sangkut.

"Tapi oleh kerana kualiti nyanyian dan rakaman masa dahulu kurang diteliti dan dijaga, maka lagu-lagu tersebut tetap dilepaskan untuk pasaran.

"Ini berlaku mungkin kerana rakaman lagu-lagu dahulu agak rumit kerana proses merakamkan lagu-lagu ke piring-piring hitam (rekod 78) dibuat di luar negara dan memakan tempoh yang lama.

"Ada di antara lagu-lagu dahulu dijadikan rekod di Jerman, England dan India sebelum industri pemerosesan rakaman dipindahkan ke rantau ini. Kita boleh melihat sendiri perkataan Made In German, Made In England dan Made In India pada muka rekod tersebut,'' kata Mohammad.
Mohammad berkata, Jasni berminat terhadap bidang nyanyian sejak kecil.

Dia memberanikan diri menyanyi pada majlis-majlis perjumpaan dan pertunjukan pentas tetapi dia hanya menyanyikan lagu-lagu Barat kerana lagu-lagu Melayu belum begitu luas penyebarannya di kalangan masyarakat.

Jasni mula mendendangkan lagu-lagu Melayu selepas mendengar suara biduan S. Abdullah yang boleh dikatakan penyanyi ulung Indonesia dan Malaya. Sejak itulah Jasni mula menyanyikan lagu-lagu Melayu.

"Jika dihitung secara rambang, dari tahun 1938 membawa ke zaman terakhir kariernya, Jasni telah merakamkan suaranya ke piring hitam sebanyak 200 buah dan kebanyakannya berirama masri dan rumba.

"Jasni juga mengakui bahawa hampir keseluruhan lagu-lagunya adalah gubahannya sendiri tetapi terdapat banyak juga lagu nyanyiannya digubah oleh Yusof B. Osman Ahmad, P. Ramlee dan Zubir Said,'' katanya.

Mohammad menjelaskan, Jasni mula dikenali dengan lagu Loket Permata ciptaannya dan ini diikuti dengan lagu Tanah malaya, Nona Kebaya Merah dan dalam beberapa buah lagu lagi dia menyanyi berpasangan dengan isterinya Neng Yatimah.

Malah, ujarnya, Jasni pernah diberikan kepercayaan oleh pengarah filem sama ada Shaw Brothers ataupun Cathay Keris untuk menjadi penyanyi suara latar.

Menurut beliau, Jasni menceritakan bahawa semasa S. Abdullah tiba di Singapura dan memperdengarkan nyanyiannya, dia telah mengekori S. Abdullah, sebagaimana orang lain yang berpusu-pusu kerana ingin bertemu penyanyi hebat itu.

Kerana kuatnya semangat S. Abdullah meresapi dirinya, Jasni berusaha memasuki pertandingan tersebut walaupun akhirnya ia dimalukan oleh penonton.

"Tetapi hatinya bulat ingin menjadi penyanyi setaraf S. Abdullah dan dia menanti sehingga tahun 1939 di mana dia berjaya memenuhi cita-citanya yang telah gagal sebelum ini.

"Tanpa membuang waktu, dia terus berlatih bersungguh-sungguh demi menyahut panggilan hatinya. Kini masa yang dinantikan telah tiba.

"Tahun 1939 merupakan tarikh keramat. Gelanggang Great World Park menentukan nasib Jasni.

"Hasratnya itu tidak sia-sia apabila dia diumumkan menduduki tempat ketiga dalam peraduan menyanyi bagi penyanyi-penyanyi amatur 1939. Tidak ada lagi penonton yang mentertawakannya.

"Demikianlah detik dan asas yang dimulakan Jasni dan dia juga boleh berbangga bila dia mula merakamkan lagu-lagu untuk pasaran di bawah lambang Rekod Cap Ayam (Pathe).

"Terdapat ramai penyanyi yang seangkatan dengannya pada masa itu. Antaranya ialah Maroeti Ahmad, Ahmad CB, A. Rahman, Tarminah, Kasban, Julia dan lain-lain,'' kata Mohammad.

Dalam perkahwinan pula, Jasni yang lahir pada tahun 1918 mula mengenali isterinya Neng Yatimah (Neng Buntat) ketika Yatimah belajar di Sekolah Perempuan Melayu Rochore, Singapura dalam darjah V.

Tetapi, hubungan mereka kurang disenangi oleh bapa Yatimah kerana Jasni berketurunan suku Bawean.

Segala kegiatan latihan kumpulan muzik bertempat di rumah Yatimah.
"Maka sukar bagi Yatimah yang berdarah Jawa daripada mengelak bertemu dan bergaul
dengan pemuda kebencian bapanya

"Tetapi Jasni sudah menjadi pilihan
hatinya pula. Pergaulan mereka ini sangat diawasi dan dicurigai oleh bapanya sepanjang masa,'' katanya.

Cuma, menurut beliau, kebencian bapa Yatimah hilang semasa Singapura dalam genggaman tentera Jepun pada tahun 1942.

Katanya lagi, tentera Jepun berkeliaran memburu wanita untuk keperluan naluri masing-masing. Salah seorang gadis yang diserkap oleh tentera ini ialah Yatimah sendiri.

"Pemuda suku Bawean yang menjadi kebencian bapanya berjaya menyelamatkan kekasihnya daripada kekejaman dan kebuasan askar Jepun dengan membohongi mereka bahawa Yatimah adalah isterinya.

"Sambil meminta askar-askar itu mengasihaninya. Jasni lantas menyatakan kesanggupannya mencari ganti Yatimah,'' ujarnya lagi.

Kata Mohammad, peristiwa pengorbanan dan keberanian Jasni tersebut sangat mengharukan bapa Yatimah.

"Kini Jasni diterima sebagai anak menantunya. Hasrat Pak Ahmad mahu bermenantukan seorang berketurunan Jawa tidak kesampaian.

"Anak gadis kecil pingitannya sudah milik pemuda Bawean. Setahun sesudah perkahwinan iaitu ketika usia Yatimah mencapai 15 tahun, maka lahirlah seorang anak perempuan yang dinamakan Rosnah.

"Anak itu lebih dikenali sebagai Roseyatimah, satu gelaran nama yang lebih menonjol kepadanya dan digilap pula oleh seniman agung P. Ramlee di dalam filem sulungnya Pendekar Bujang Lapok,'' kata Mohammad.









Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]