bule anakna oreng phebien . MALAYSIA ADALAH LUBUK EMAS WARGA INDONESIA - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » MALAYSIA ADALAH LUBUK EMAS WARGA INDONESIA

MALAYSIA ADALAH LUBUK EMAS WARGA INDONESIA

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 11:59 PG




MALAYSIA LUBUK EMAS WARGA INDONESIA




Kebanjiran rakyat asing terutama warganegara Indonesia ke negara ini sejak sekian lama, sama ada secara sah atau haram, banyak membawa perubahan kepada kehidupan mereka terutama dari segi taraf hidup.

Hakikatnya, kemasukan mereka itu bertujuan mencari pekerjaan disebabkan di tempat sendiri tiada sebarang pekerjaan disediakan dan berlaku kemiskinan hidup.

Kemasukan tenaga kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia disebabkan pembangunan dan kemajuan pesat di negara ini yang seterusnya membuka banyak peluang pekerjaan seperti dalam sektor perladangan, pembinaan, perkilangan dan banyak lagi.

Keadaan itu menyebabkan Malaysia umpama `gula' yang dihurung oleh semut-semut'. Semut-semut di sini umpama rakyat Indonesia, India, Bangladesh, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan rakyat dari beberapa negara lagi.

Tidak hairanlah pekerja asing yang masuk ke Malaysia secara sah direkodkan melebihi satu juta orang.

Disebabkan terlalu banyak peluang pekerjaan untuk direbut, adalah dianggarkan mereka yang masuk secara haram pula mencecah jumlah yang sama.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang hanya mengetahui kehadiran rakyat asing terutama dari Indonesia telah membawa perubahan besar kepada Malaysia dari segi pembangunan.

Memang diakui perkara ini terutama apabila dapat dilihat banyak bangunan pencakar langit berdiri megah seperti Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia adalah hasil kerja buruh rakyat Indonesia.

Bagaimanapun, di sebalik pembangunan yang menyediakan ratusan ribu pekerjaan, malah jutaan juga, ia sebenarnya telah membawa perubahan pada taraf hidup para pekerja asing itu sendiri.

Perubahan taraf hidup itu memang tidak dapat dilihat di Malaysia, sebaliknya ia berlaku di Indonesia apabila TKI berkenaan pulang atau menghantar hasil mereka ke negara asal. Dengan kata lain, nasib rakyat asing yang datang ke negara ini telah banyak berubah disebabkan peluang-peluang pekerjaan yang disediakan.

Keadaan ini berlaku apabila mereka yang bekerja di Malaysia itu menghantar pulang hasil-hasil diperoleh ke kampung halaman untuk dinikmati oleh ahli keluarga dan sanak-saudara.

Secara langsung, keadaan ini membantu mengurang serta menyelesaikan masalah dihadapi oleh negara-negara berkenaan.

Oleh itu, penghijrahan rakyat asing ke Malaysia sebenarnya memberi kesempatan untuk mereka membantu negara sendiri. Adalah dianggarkan bahawa setiap TKI yang bekerja di negara ini menghantar pulang minimum RM100 setiap bulan kepada keluarga mereka.

Jika satu juta TKI yang bekerja secara sah berbuat demikian, ini bermakna lebih RM1.2 bilion hasil diperoleh dari Malaysia telah dihantar ke Indonesia dalam masa setahun.

Jika satu juta lagi TKI berada di negara ini secara haram, bermakna jumlah itu adalah dua kali ganda.
Jumlah ini amat besar dan ia merupakan pengorbanan Malaysia dalam memberi pekerjaan dan membantu rakyat negara jiran.

Seorang TKI, Mawardi Mustapa, 40, yang masih bekerja di ladang kelapa sawit Felda Hilir 5, Kuantan, Pahang, mengakui dia dapat menghantar kira-kira RM2,000 setiap tiga bulan.

Jelasnya, jumlah wang itu mampu menampung isteri dan tujuh anaknya selama tiga hingga enam bulan.

``Saya juga dapat membina rumah batu. Jika dulu rumah kami dibuat dari buluh.
``Saya juga dapat beli dua hektar tanah dan motosikal,'' katanya ketika ditemui Barat Kokok Majidi, 60 kilometer dari Mataram, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Penjelasan Mawardi itu bermakna jumlah sebenar hasil dibawa pulang oleh TKI melebihi RM1.2 bilion.
Keadaan ini terbukti benar jika kita meninjau pembangunan dan kemajuan di kebanyakan tempat di Indonesia. Antaranya termasuklah Pulau Bawean dan Mataram.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pulau Bawean seluas 194 kilometer persegi mendapati rata-rata penduduknya mengakui bahawa rumah batu, jalan raya dan masjid di situ adalah hasil yang diperoleh dari Malaysia. 

Malah, penduduk mengakui setiap mereka mempunyai ahli keluarga yang masih bekerja di Malaysia atau setidak-tidaknya pernah bekerja di sana.

``Ini semua hasil dari Malaysia. Rumah batu, masjid dan tanah-tanah yang dibeli penduduk adalah wang hasil diperoleh bekerja di Malaysia,'' kata guru Sekolah Dasar Negeri, Jamari Abdullah, 57.

Sesuatu yang menarik, ada beberapa rumah batu milik penduduk itu ditinggalkan disebabkan penghuninya masih bekerja di Malaysia.

Kemewahan diperoleh oleh penduduk Pulau Bawean yang sering berulang-alik ke negara ini telah membawa kepada masyarakatnya mewujudkan komuniti Boyan di Malaysia. Ini memang diketahui umum.

Begitu juga tinjauan di beberapa tempat di Mataram, seperti Desa Jelatang Gegerung, Barat Kokok Majidi dan Desa Gunung Raja, Lombok Timur.

Rata-rata penduduk di situ mengakui peluang pekerjaan di Malaysia telah mengubah nasib serta kehidupan mereka.

Ketua Kampung Barat Kokok Majidi, Muhamad Amin Ahmad Shukor, 70, berkata, wang diperoleh daripada ratusan penduduk kampung itu yang bekerja di Malaysia telah membawa pembangunan drastik.

``Dulu hanya jalan tanah untuk pejalan kaki tetapi kini kita dapat bina jalan tanah mereka yang boleh dilalui kereta atau van.

``Dulu rumah penduduk hanya buluh tetapi kini sudah batu. Masjid pun sudah berubah,'' katanya.

Banyak lagi pengakuan penduduk Indonesia yang boleh dicatatkan mengenai perubahan yang dialami mereka setelah bekerja di Malaysia.

Ini termasuklah kemahiran daripada hasil kerja diperolehi hingga ada yang berjaya membuka kedai runcit, pasar mini, mengerjakan kebun sendiri, menjadi pemandu van dan banyak lagi.

Perubahan pada TKI itu telah membawa perubahan besar pada kehidupan penduduk Indonesia yang menjadi jiran akrab Malaysia.

Dengan kata lain, kemajuan, pembangunan dan kekayaan dimiliki oleh Malaysia selama ini turut dinikmati bersama oleh rakyat Indonesia.

Walaupun keadaan itu tidak dapat dilihat secara mata kasar di Malaysia tetapi hakikatnya ia adalah sesuatu yang benar apabila kita pergi meninjau di Indonesia.












Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]