bule anakna oreng phebien . LEBIH SEJUTA PATI MEMBANJIRI NEGARA MALAYSIA - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » LEBIH SEJUTA PATI MEMBANJIRI NEGARA MALAYSIA

LEBIH SEJUTA PATI MEMBANJIRI NEGARA MALAYSIA

Written By Unknown on Khamis, 17 Januari 2013 | 12:02 PTG


LEBIH SEJUTA PATI MEMBANJIRI NEGARA MALAYSIA








KUALA LUMPUR 23 Julai – Kadar upah lumayan sehingga mencecah RM4,000 sebulan terutama dalam sektor pembinaan merupakan faktor utama lebih sejuta pendatang asing tanpa izin (PATI) membanjiri negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka juga tertarik untuk bekerja di negara ini yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dan kehidupan yang jauh lebih stabil berbanding di negara mereka.

Bagi warga Bangladesh, Mohd. Akhter Md. Shahalam, 30, dia mahu terus tinggal di Malaysia kerana mampu menghantar kira-kira RM2,000 setiap tiga bulan sekali kepada keluarga.

Katanya, RM2,000 bersamaan dengan 40,000 Taka Bangladesh dan ia dapat memberi kesenangan hidup kepada keluarganya di negara asal.

Beliau berkata, Malaysia merupakan lubuk emas yang diimpikan oleh semua warga asing terutamanya dari negara-negara mundur.

‘‘Di sini, begitu mudah untuk memperoleh wang dengan syarat bekerja dengan bersungguh-sungguh.

‘‘Bahasa Malaysia saya juga semakin baik setiap hari dan ia merupakan bahasa yang paling mudah dipelajari,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan muka depan akhbar ini hari ini mengenai lebih 300,000 warga asing yang dilaporkan tinggal di negara ini dengan menyalahgunakan permit mereka.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed yang mendedahkan perkara itu berkata, warga asing terbabit pada mulanya memasuki ke negara ini secara sah, tetapi tidak pulang setelah permit bekerja atau belajar mereka tamat tempoh.

Warga Indonesia, Marju Munari, 36, berkata, beliau kini dapat menghantar wang ke negaranya setiap dua bulan sekali.

‘‘Sekarang saya sudah mampu menyewa sebuah rumah di sini dan saya rasa selamat berada di negara ini tanpa rasa bimbang untuk bekerja,’’ ujarnya.

Warga Nepal, Sontos B.K., 22, memberitahu, Malaysia amat sesuai untuk dijadikan tempat tinggal kerana negara ini aman.

‘‘Negara ini cukup aman berbanding di negara saya malah ia menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang,’’ katanya.

Sementara itu, warga Indonesia, Maria Razak, 43, berkata, selain memperoleh pendapatan yang lumayan, warga asing masih dapat tinggal di negara ini dengan baik kerana rakyatnya pemurah dan boleh bertolak-ansur.

Beliau bangga menjadi penduduk tetap dan tinggal di sini melebihi 23 tahun, malah ketiga-tiga anaknya sudah menjadi warganegara Malaysia.

‘‘Negara ini tidak sama seperti negara lain. Di sini aman dan semua orang boleh mencari pekerjaan asalkan rajin,’’ ujarnya yang berasal dari Bawean, Indonesia.

Mohd. Subhan, 31, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia berkata, terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara ini termasuk sebagai tukang cuci.

‘‘Kalau di negara saya amat sukar jika mahu mencari peluang pekerjaan, kalau ada hanya untuk golongan tertentu sahaja. Paling penting kita tak memilih pekerjaan,’’ katanya.

Seorang lagi warga Indonesia, Osman Abdullah, 36, berkata, ramai warga asing memasang impian mahu berhijrah ke negara ini yang menjanjikan mereka masa depan lebih cerah.

‘‘Tetapi tindakan mereka tinggal di negara ini tanpa permit adalah tidak wajar kerana ia jelas tidak menghormati undang-undang,’’ katanya.









Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]