Persatuan Bawean Malaysia berada ke Johor
JOHOR BAHRU - Sambutan Hari Malaysia yang ke-50
disambut meriah oleh kira-kira 200 penduduk Ulu Tiram dan kawasan sekitar
apabila Persatuan Bawean Johor dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negeri mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kebudayaan dan Kesenian di
sini semalam.
Karnival yang turut mendapat kerjasama daripada beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diadakan bermula pukul 9 pagi dan
dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang selain dihadiri Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang dan Presiden Persatuan
Bawean Malaysia, Datuk Aziz Sattar.
Soo Seang dalam ucapannya berkata, usaha penganjur
mengadakan sambutan yang bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara dan
budaya masyarakat sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda seharusnya
dipuji dan diteruskan di masa akan datang.
"Dengan adanya karnival yang menonjolkan budaya dan
kesenian masyarakat Bawean khususnya membolehkan generasi muda lebih mengenali
kembali tradisi dan kesenian yang ada dan mereka akan sentiasa mengingati
kewujudan seni itu di masa akan datang.
"Melalui program sebegini juga diharapkan akan dapat
memupuk semangat perpaduan dan keharmonian di antara pelbagai lapisan
masyarakat kerana apabila kita berkumpul begini akan dapat mengeratkan
kemesraan," katanya.
Karnival sehari tersebut disajikan dengan pelbagai aktiviti
termasuk persembahan tarian inang, Kerenchegan Masyarakat Bawean, Kuda Kepang,
Hadrah, Pencak Silat Pedang Bawean, Pencak Silat Selinggi Tunggal, Pencak Silat
Konto Bawean dan Mandailing.
-UM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan