bule anakna oreng phebien . DUA BUDAYA BERSATU DI KUALA LUMPUR - Kuduk-Kuduk Channels
Home » » DUA BUDAYA BERSATU DI KUALA LUMPUR

DUA BUDAYA BERSATU DI KUALA LUMPUR

Written By Unknown on Isnin, 21 Oktober 2013 | 10:17 PG



Konsert Nusantara dua budaya di adakan di Kuala Lumpur






KONSEP penyatuan dua negara dilihat cukup kemas dan cantik menerusi medium muzik dan tari yang dialunkan pada malam penganjuran Konsert Nusantara di Istana Budaya (IB), Khamis lalu.

Sarat dengan elemen lagu, muzik dan tari Nusantara, IB melakar satu lagi sejarah besar apabila berjaya membawa makna serumpun antara Malaysia dan Indonesia pada sebuah konsert berkelas tinggi.

Intipati konsert tentu sekali terarah kepada objektif utama dalam usaha menyatukan dua negara menerusi kekayaan seni dan budaya yang diakui sedikit sebanyak mempunyai persamaan.

Cuma bak kata orang, adunan dan acuannya mungkin berlainan. Namun intinya masih sama. Masih serumpun, masih Melayu. Malah konsert itu nyata sesuai dan kena dengan tema Serumpun, Sebudaya yang diberikan.


Diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Konsert Nusantara ini memberi peluang penonton untuk mengenali dan menghayati budaya dua negara dalam satu pementasan.
Umpama lengkap dalam satu pakej, persembahan demi persembahan pada malam itu nyata memberi kepuasan buat penonton yang hadir.

Ruang dewan IB tempoh hari galak dengan tepukan gemuruh tanpa henti penonton yang dilihat menghayati dengan baik setiap persembahan yang dipentaskan.
Unik sekali kerana malam itu bukan sahaja penonton tempatan malah ramai pencinta muzik dari Indonesia sanggup terbang ke sini demi memeriahkan konsert tersebut.
Masakan tidak, sesiapa pun akan terpancing untuk datang apabila melihat barisan artis yang membuat persembahan pada malam itu.


Pembuka tirai dimulakan dengan persembahan paduan generasi baru lama dua negara melalui gandingan Endang S. Taurina dan Hafiz menerusi lagu Seiring Sejalan.
Kemudian pengisian acara lebih bertumpu kepada kepelbagaian jenis tarian dan seni muzik dua negara.

Perkongsian budaya yang dimaksudkan jelas terpancar menerusi keunikan tarian yang dipaparkan.

Antara yang dipentaskan dari rumpun Melayu Indonesia ialah tarian Hadrah, Saman, Jaipong, Bugis, tari Endeng-Endeng dan Jathilan Ponorogo.
Sementara Malaysia pula bangga memperkenalkan tarian Samrah, tarian etnik Sarawak dan Sabah menerusi lagu tradisional yang mengiringi acara pentas.
Usai tarian, penonton menyambut mesra persembahan artis tanah air dan seberang yang ternyata hebat dengan kedudukan masing-masing.


Antaranya, Yusni Hamid yang menyampaikan dua buah lagu berjudul Semalam Di Malaysia dan Keraka (lagu masyarakat Bawean).

Tidak pernah menghampakan dalam persembahan, Siti Nurhaliza menghiburkan penonton dengan lagu-lagu menarik termasuk gandingan dengan Hafiz menerusi lagu Muara Hati.
Selain itu, elemen tradisional diselitkan menerusi persembahannya untuk lagu Balqis, Nirmala, Cindai dan Joget 106 bersama penyanyi Indonesia, Rossa.

Rossa juga mencairkan hati penonton menerusi persembahan solo untuk lagu Mojang Priangan (lagu Sunda) serta medley Ayat-Ayat Cinta dan Pudar.

Pentas juga dikongsi oleh penyanyi Bob Yusuf yang mendendangkan lagu Tandang Bermadah, Yazer (Anak Kampung), Elly Kasim (Ampun Madah) dan Endang yang menyanyikan lagu hitsnya satu ketika dahulu yang berjudul Apa Yang Ku Cari.

Tirai persembahan budaya dua negara diakhiri dengan persembahan lagu Rasa Sayang oleh barisan artis terlibat.

Semangat kekitaan jelas dirasai apabila seisi dewan sama-sama mengalunkan lagu tersebut sambil tangan memegang dan mengibarkan bendera negara masing-masing.

Konsert tiga hari itu turut menyaksikan pembabitan artis tempatan lain termasuk Black, Stacy, Ziana Zain dan M. Nasir.-SH





Share this article :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
.
 KUDUK MEDIA KKC : Informasi komuniti bawean
© 2010 - 2015. Kuduk-Kuduk Channels - Hak Cipta Terpelihara
KHABAR ORANG BAWEAN
Hantar Maklumat [ keluar ]