Adun santuni masyarakat Bawean Gombak Selangor
GOMBAK : Beberapa buah surau dan kampung masyarakat Bawean di Gombak menerima beberapa jenis sumbangan dari Adun Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Ridzwan semalam.
Majlis sumbangan tersebut diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Bawean Surau Baburrahmah di Sungai Chincin, Gombak.
Antara surau yang menerima sumbangan semalam, Surau Hidayatussobyan, Kg. Kerdas 4, Surau Miftahulhuda, Pinggiran 3, Surau Baburrahmah, Pinggiran 1, Sg. Chincin dan Kampung Sri Harmonis.
Sumbangan Aidilfitri itu berupa barangan makanan termasuk wang bagi pembelian beberapa kelengkapan dan penyelenggaraan surau dan kawasan kampung.
Ianya termasuk permaidani, sistem pembesar suara, paip air, pembinaan longkang serta bagi tujuan pengindahan surau sempena menyambut 1 Syawal nanti.
“Kita berharap dengan sumbangan yang diberikan dapat meningkatkan lagi prasarana dan juga dapat mengimarahkan lagi surau-surau masyarakat Bawean.”
“Dengan sumbangan ini juga, dapatlah masyarakat Bawean Gombak menikmati kehidupan yang lebih baik dibawah Pakatan Rakyat Selangor” kata beliau ketika berucap di majlis berbuka puasa tersebut.
Dalam kesempatan itu juga, Hasbullah sempat melawat surau yang hampir siap dibina oleh masyarakat Bawean Pinggiran 4 dan masih memerlukan sumbangan.
Bawean merupakan satu kelompok kecil masyarakat Melayu yang berasal dari Pulau Bawean, Indonesia.- harakah.Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan