KUCHING: “Saya terharu apabila Timbalan Perdana Menteri (Tan
Sri Muhyiddin Yassin) sudi singgah di premis perniagaan kami. Selain mencuba
kek lapis dihasilkan, beliau juga memberikan kata-kata perangsang untuk saya memajukan
lagi perniagaan ini ke peringkat lebih tinggi,” kata peniaga kek lapis Sarawak,
Dzolkarnain Saad, 47.
Pengusaha makanan terkenal negeri itu turut berbangga kerana
selepas 14 tahun menceburi perniagaan itu, buat pertama kali, premis
perniagaannya dikunjungi pemimpin nombor dua negara yang melakukan lawatan
singkat ke Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, pemimpin kedua negara itu turut melihat
bagaimana proses membuat kek berkenaan dan tertarik dengan penghasilan 56 jenis
kek pelbagai perisa, bentuk dan warna. Menceritakan sejarah perniagaannya,
Dzolkarnain berkata, semuanya bermula pada 1997 apabila sepupu yang juga
pemilik kedai berkenaan, Dayang Salhah Awang Weldan bersama beberapa ahli
keluarga terdekat membuka kedai itu.
“Saban tahun, perniagaan semakin maju dan Alhamdulillah kini
kami mempunyai 150 pekerja yang bekerja secara syif dan mampu menghasilkan
3,000 kek sehari dengan pendapatan mencecah jutaan ringgit.
“Jika dulu, kami hanya menerima tempahan pada musim
perayaan, tetapi kini tempahan diterima hampir setiap hari daripada pelanggan
di seluruh negara termasuk dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan
Brunei,” katanya.
Katanya, pelanggan yang berkunjung ke kedainya akan dilayan
mengikut konsep tiga dalam satu iaitu mengadakan lawatan, membeli dan melihat
proses penghasilan kek lapis dari mula hingga siap dibungkus untuk dipasarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan