NIKMAH SUHAIDI BERKETURUNAN MELAYU BOYAN MENJADI TUKANG KHATAN BAYI PEREMPUAN
Gambar hiasan
BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara
ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun
secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.
Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan
sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.
“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain
daripada mengawasi kesihatan batin.
“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara
diri daripada mendapat pelbagai penyakit.
“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi
perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal
perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya
di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Amalan
dituntut
Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya,
wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.
“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita
Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada
yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.
Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana
mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan
mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.
“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya
juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan
rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.
“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang
sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.
“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa
yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,”
katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.
Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah
memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya
beberapa hari selepas dilahirkan.
Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga
setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.
Kerat 1.3
sentimeter
“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung
daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di
sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.
“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci
(1.3 sentimeter).
“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang
dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.
Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan
ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima
sen.
“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin
dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu
meter dan dua meter bagi wanita dewasa.
“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk
membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata
pisau menoreh tangan.
“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga
digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.
Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak
pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata
pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.
Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan
menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.
“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan
dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan
jangkitan kuman dan komplikasi lain.
Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya
kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan
tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.
“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau
sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi
perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi
yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.-Info Jarnal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan