REMAJA MODEN KURANG MATANG?
SELALU kita mendengar kata-kata, "umur masih mentah...
apalah yang ditahunya" bagi merujuk kepada remaja yang ditafsirkan sebagai
golongan belum tahu serba serbi, berfikiran tidak matang. Tetapi bila tengok
kejutan jenayah yang dilakukan ramai remaja kini adakah kata-kata ini masih
relevan diguna pakai?
Mungkin agak tidak berapa sesuai (kini), bila mendakwa
golongan remaja tidak tahu serba serbi hanya semata-mata berusia muda. Kerana,
laporan berita dan statistik jenayah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) telah membuktikan, apabila menyentuh bab jenayah dan kesalahan melanggar
undang-undang, ramai remaja 'bijak'.
Jenayah merempit, ramai anak remaja pandai mengubah suai
motosikal semata-mata mahu jadi jaguh di litar haram, jenayah lari rumah, memperlihatkan
ramai golongan yang dikatakan 'tidak tahu apa-apa' ini tahu pula meloloskan
diri daripada jagaan ibu bapa, jenayah buli, rata-rata remaja yang terlibat
semuanya tahu memukul dan bergumpal.
Jadi, melihat pada keadaan ini kata-kata 'umur masih mentah...
apalah yang ditahunya' tidak sesuai lagi diguna pakai, kerana ada sesetengah
perkara 'mereka' ini sangat pandai, mengalahkan dewasa.
Kini, seiring dengan negara pesat membangun, usaha
melibatkan program sosial bagi menangani masalah sosial remaja tidak lagi
dipandang sepi. Contohnya pihak PDRM kini kerap melaksanakan program cegah
jenayah.
Tidak setakat itu, pendedahan terhadap hukuman yang bakal
diterima atas setiap jenayah dilakukan turut didedahkan. Bukan setakat PDRM,
pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga semakin giat mendedahkan
informasi berhubung jenis jenayah dan hukuman yang bakal diberi dalam usaha
mendidik dan membendung jenayah berlaku di kalangan remaja.
Namun, persoalannya adakah usaha tersebut berhasil mencapai
objektif 100 peratus? Apakah keadaan tersebut tidak berubah langsung atau ada
sedikit perubahan? Atau sebenarnya semakin menjadi-jadi? Dalam bahasa mudah dan
sering dituturkan ramai orang kini 'buat dek'. Golongan remaja yang suka
melakukan jenayah ini seperti buat dek dengan segala hebahan dan nasihat yang
diberikan.
Ditambah pula kewujudan media baru, remaja kini semakin
bijak. Pada asalnya kecanggihan media baru dicipta untuk kebaikan namun
sebaliknya berlaku jika disalah guna sehingga ramai remaja terjebak ke kancah
jenayah seperti berkenalan dengan individu tidak bermoral dan menonton gambar
lucah yang berpotensi mendorong melakukan jenayah lari rumah, bunuh, rogol,
cabul dan buli.
Membicarakan perihal ramai remaja kini berani langgar
undang-undang bukanlah sesuatu yang baru. Ia isu berulang ibarat hal yang tidak
pernah sudah. Maka, adakah kita tidak perlu membincangkan hal ini lagi
semata-mata menganggapnya isu lapuk? Jika wujudlah masyarakat terus berpegang
pada pandangan 'biarlah, sebab tak pernah habis' adakah ini pendekatan paling
baik? Bicara Isnin percaya, sesuatu hal jika dibawa dalam bentuk nasihat, ia
tidak wajar dikatakan sebagai lapuk. kerana perihal menasihati anak remaja kita
jangan pernah berhenti walaupun menjangkau beberapa generasi lagi.
Jenayah lari rumah
Kajian menunjukkan tekanan keluarga serta pernah dihalau
menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri
dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan oleh sebuah badan
sosial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Mohd Fadzil
berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2010 itu, didapati sebanyak
37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah
menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas
melakukan kesalahan.
“Kajian ini dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18
tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut
mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan,
pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh
ajakan rakan,” katanya yang dilaporkan Bernama.
Katanya daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan
16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu
67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun
(4.3 peratus).
Kes lari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka
ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak
65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18
tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus.
Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi
bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulangan
apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.
Prof Mohd Fadzil berkata, remaja seharusnya sedar bahawa
tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara langsung boleh merisikokan
mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan