OMAR PELAKON BERKETURUNAN
BAWEAN
Namanya mungkin tidak sehebat Allahyarham Tan Sri P Ramlee,
Allahyarham Nordin Ahmad, Datuk Aziz Sattar atau S Shamsuddin, namun
Allahyarham Omar Suwita tetap berada dalam kelas tersendiri.
Watak pembantu terutama watak jahat memang sinonim dengan
Omar. Malah, kerap digandingkan dengan seorang lagi aktor ‘jahat’, Allahyarham
Mahmud June.
Allahyarham juga kerap muncul dalam filem P Ramlee
antaranya Pendekar Bujang Lapuk, Sarjan Hassan, Hang Tuah, Penarik Beca, Anakku
Sazali dan Semerah Padi.
Dalam filem Pendekar Bujang Lapuk, tentu ramai yang masih
ingat Omar yang melakonkan watak salah seorang samseng dan juga orang suruhan
kepada tauke sampan (lakonan Ahmad Nesfu) membaling batu mengenai dahi Aziz Sattar
dalam babak di rumah Pendekar Mustar (lakonan Mustarjo).
Selain lakonan, Omar juga berbakat sebagai penyanyi dan
pernah berduet dengan Allahyarham Datin Rafeah Buang menerusi lagu Suka Sama
Suka pada 1950-an.
Begitulah dapat diperkatakan pemergian Omar yang kembali ke
rahmatullah di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura pada jam 4.15 petang, Isnin
lalu akibat kencing manis. Terdahulu beliau dimasukkan ke hospital berkenaan
pada jam 11 pagi hari yang sama selepas muntah.
Allahyarham meninggalkan tujuh anak, dua lelaki dan lima
perempuan berusia antara 40 hingga 56 tahun. Selain menderita penyakit kencing
manis, Omar juga pernah diserang angin ahmar menyebabkan sebahagian tubuhnya
lumpuh.
Pelakon berasal dari Melaka itu disifatkan rakan-rakannya
seorang yang mempunyai karakter tersendiri iaitu suka berjenaka dan dalam
masa yang sama juga pendiam. Mereka juga mengagumi bakat lakonannya dan sering
beraksi sebagai pelakon tambahan serta selalu membawa watak jahat dalam filem
lakonannya.
Antara dua filem terawalnya ialah Hati Iblis pada 1953 dan
diikuti filem Ribut pada 1955. Seterusnya beliau terbabit dengan filem Penarik
Beca (1955), Hang Tuah (1956), Anakku Sazali (1956), Semerah Padi (1956), Panca
Delima (1956), Mogok (1958), Sarjan Hassan (1958), Pendekar Bujang Lapuk
(1959), Raja Bersiong (1963), Gerak Kilat (1966) dan Ibulah syurga (1968).
Pada penghujung usia tuanya, dia dijaga secara
bergilir-gilir oleh anak-anaknya yang sentiasa memastikan tahap kebersihan,
pemakanan dan rawatannya berada pada tahap yang baik dan terkawal.
Tiga tahun lalu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang
ketika itu dipimpin Datuk Mustapha Maarof pernah melawat Omar di kediamannya di
Woodlands, Singapura.
Pada kunjungan itu, kegembiraan jelas terserlah pada
wajahnya dan dari raut wajahnya dia sangat mengalu-alukan kedatangan Seniman.
Pada pertemuan itu, Omar tidak pernah melupakan kawan-kawan seperjuangannya
dalam dunia perfileman yang dianggap sebagai saudaranya sendiri.
Ketika itu ingatannya bukan saja masih kuat, malah pelakon
berketurunan Bawean ini masih menyimpan gambar lamanya bersama rakan-rakan yang
pernah berlakon bersamanya.
Selain terharu menonton lakonan kawan-kawannya dalam filem
yang ditayangkan semula di televisyen, Omar tidak terkecuali berasa terharu
dikunjungi rakan-rakannya.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara
Abadi, Jurong, jam 11 pagi kelmarin. Antara yang hadir majlis pengebumiannya
ialah komposer terkenal, Kassim Masdor.
INFO:
Filem yang dibintangi Omar Suwita:
Hati Iblis (1953)
Ribut pada (1955)
Penarik Beca (1955)
Hang Tuah (1956)
Anakku Sazali (1956)
Semerah Padi (1956)
Panca Delima (1956)
Mogok (1958)
Sarjan Hassan (1958)
Pendekar Bujang Lapuk (1959)
Raja Bersiong (1963)
Gerak Kilat (1966)
Ibulah syurga (1968)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan