ORANG BAWEAN MENCARI NASIB DI NEGARA ORANG
Daripada: Zulikifli hamzah
PULAU Bawean yang terletak 156 kilometer sebelah utara daerah
Gresik, Jawa Timur di kalangan rakyat Indonesia popular dengan gelaran Pulau
Puteri dan pulau ramai janda kerana lelakinya merantau ke Malaysia mahupun
Singapura.
Gelaran Pulau Puteri ada benarnya. Tetapi cerita pulau janda dan
perceraian hanya dibuat melalui surat atas alasan jarak, disanggah oleh
penduduk tempatan yang menyatakan Bawean merupakan kelompok masyarakat yang
taat terhadap ajaran agama Islam.
Di mana-mana pelosok pulau berkeluasan 194.11 kilometer persegi
dan berpenduduk 59,500 orang ini, sebahagian besar lelaki merantau sehingga
pulau ini didominasi golongan wanita dan anak-anak.
``Kalaupun ada lelaki, mereka ialah golongan tua atau penduduk
Bawean keturunan Jawa yang bekerja sebagai nelayan dan menanam padi. Perantau
Bawean di Malaysia jumlahnya lebih ramai berbanding penduduk Bawean sendiri,''
kata Arifin Abdullah, penduduk Bawean yang kini tinggal di Gresik.
Setelah berjaya di perantauan, orang Bawean membawa bersama
keluarga mereka meninggalkan pulau ini. Di daerah perantauan, mereka menubuhkan
persatuan dan bersama-sama membangun perkampungan yang biasanya di panggil
Kampung Boyan seperti banyak terdapat di Malaysia.
Tetapi tradisi orang Bawean, jarang yang melupakan asal usul
mereka. Walaupun sebahagiannya telah mendapat taraf penduduk tetap dan
berkahwin dengan penduduk tempatan tetapi tidak melupakan Bawean.
Bawean bagi mereka, bukanlah tempat untuk hidup tetapi untuk lahir
dan mati. Anak-anak berusia remaja akan dihantar di negara-negara jiran untuk
menjadi pekerja bangunan, restoran, kilang atau ladang kelapa sawit.
Uniknya sangat jarang yang memilih bekerja sebagai pembantu rumah.
Jumlah penduduk Bawean yang berada di negara asing dikatakan lebih 400,000
orang. Seorang penduduk, Asnawi, 52, yang menghabiskan masa 23 tahun merantau
ke negara orang berkata, orang Bawean hanya menjadikan kampung mereka tempat
persinggahan atau percutian bukan tempat tinggal.
``Mereka akan pulang sekurang-kurangnya sekali atau dua kali
setahun. Kalau Hari Raya Aidilfitri, anda akan melihat suasana Pulau Bawean
jauh berbeza kerana meriah dengan para perantau,'' katanya yang kini membuka
tempat penginapan, restoran dan warung telefon (wartel).
Asnawi menimba pengalaman menjadi kelasi sebelum bekerja sebagai
buruh binaan di Malaysia. Dia berhenti menjadi kelasi pada 1982 dan bekerja di
Malaysia. Sebut sahaja mana kawasan Malaysia, semuanya telah dikunjunginya.
Lima tahun lalu, dia memutuskan menetap di Bawean untuk menjaga
ibunya yang sudah tua dan membesarkan dua anaknya, masing-masing berumur enam
dan lima tahun dari perkahwinan keduanya.
Dua anak Asnawi dari perkahwinan pertama kini berada di Singapura
dan seorang lagi memilih menjadi rakyat Malaysia. Perjalanan hidup Asnawi
merupakan contoh kisah hidup masyarakat Bawean. Mengumpulkan harta di Malaysia
atau negara asing lainnya dan melaburkan untuk membina rumah, membeli tanah
atau aset-aset lainnya di Bawean.
Bertambah kaya
``Rumah-rumah batu yang tersergam indah ini ialah hasil dari
Malaysia. Kalau mengharapkan ekonomi Bawean, tidak mungkin mereka dapat membina
rumah sebesar ini,'' kata Arifin dan Asnawi yang menemani Mingguan Malaysia
meninjau perkampungan Bawean.
Bagi masyarakat Bawean, ekonomi di pulau itu sangat bergantung
kepada Malaysia, bukannya Indonesia.
``Tidak ada Malaysia, tidak adalah Bawean. Semasa krisis ekonomi
teruk melanda Indonesia pada tahun 1997, penduduk Bawean bertambah kaya kerana
kadar pertukaran ringgit dengan rupiah semasa itu sangat tinggi,'' kata Asnawi.
Orang Bawean yang merantau hampir semuanya berjaya, jika dinilai
dari harta benda yang mereka miliki. Mereka yang dulunya bekerja hanya untuk
makan kini mampu membeli harta benda yang sekali gus telah meningkatkan taraf
hidup masing-masing.
Orang Bawean kini lebih kaya daripada para pedagang dari
Palembang, kelompok masyarakat minoriti di pulau ini yang dipanggil dengan
sebutan orang Kemas oleh masyarakat setempat.
``Dahulu mereka dihormati sebagai pedagang kaya di Bawean. Tetapi
sekarang tidak lagi. Kini yang lebih kaya ialah masyarakat Bawean yang
sebahagian besar bekerja di Malaysia dan Singapura,'' jelasnya.
Di kebanyakan kampung pula, penduduk menggelarnya Kampung Malaysia
kerana majoriti penduduknya bekerja di negara itu. Malah di beberapa batang
jalan di kampung-kampung yang dibina secara gotong-royong hasil pendapatan dari
Malaysia diberi nama Mahathir Mohamad.
``Anda boleh melihat jalan kampung biasanya lebih cantik dari
jalan utama yang dibina oleh pemerintah Indonesia. Kalau tidak ada Malaysia,
tidak mungkin masjid, sekolah, jalan dan rumah atau prasarana awam lainnya
seperti yang dapat dilihat sekarang,'' kata Arifin.
Seperti menjadi kemestian bagi masyarakat Bawean untuk membina
rumah batu bagi membuktikan kejayaan mereka walaupun di Malaysia mereka hanya
tinggal di rumah-rumah setinggan atau rumah kongsi.
Fenomena ini menyebabkan banyak rumah mewah yang tersergam
dibiarkan kosong kerana penghuninya berada di Malaysia. Ungkapan kerja sehari
di Bawean tidak cukup untuk makan sehari tetapi di Malaysia cukup bagi seminggu
bahkan sebulan merupakan alasan utama mereka merantau ke Malaysia. Pekerjaan
utama di Bawean ialah pertanian dan nelayan.
Menurut cerita penduduk, bagi orang Bawean menyimpan mata wang
ringgit atau dolar seperti menyimpan emas kerana nilainya tidak mudah turun
berbanding rupiah.
Menjadi tradisi setiap kali pulang, para perantau selain membawa
wang tunai akan mengangkut pelbagai peralatan rumah tangga dan kenderaan yang
dibeli dari Gresik dan Surabaya untuk digunakan oleh ahli keluarga yang masih
tinggal di pulau ini.
``Jika tidak ada Malaysia, Bawean tidak akan menjadi seperti
sekarang. Saya boleh katakan 70 peratus ekonomi Bawean diatur dari Malaysia,''
kata Buang Guntur, 47, orang pertama membuka pasar mini di Bawean pada tahun
2000.
Buang yang mengaut keuntungan berniaga pakaian dan barang kemas di
Malaysia serta menjadi pengawal (perkhidmatan mengirim wang) merupakan antara
contoh masyarakat Bawean yang berjaya. Kini dia menumpukan usaha perniagaan
pasar mini dan kontraktor.
Berkat usahanya itu yang bermodalkan hasil dari Malaysia, dia
mampu hidup senang dan menyekolahkan tiga anaknya di institusi pengajian tinggi
di Indonesia Berada di Bawean seperti berada di Malaysia. Selain lagu-lagu Siti
Nurhaliza, hampir semua penduduk pulau ini mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Jika tidak bekerja di Malaysia, pasti ada saudara-mara mereka merantau di
negara berkenaan.
Mereka seronok bercerita tentang Kampung Pandan, Ampang, Jalan
Klang Lama, Cheras dan Gombak yang merupakan antara penempatan utama masyarakat
Bawean di Malaysia. Setiap kali bertemu orang Bawean, pertanyaan pertama ialah
di Malaysia tinggal di mana.
``Masyarakat Bawean lebih mahir bercerita selok-belok Kuala Lumpur
berbanding Surabaya (ibu kota Jawa Timur) apatah lagi Jakarta. Kami semua
bersyukur atas rezeki yang kami peroleh dari Malaysia,'' ujar Asnawi.
Orang-orang Bawean dikatakan merantau ke Malaysia dan Singapura
sejak tahun 1830, lama sebelum penghantaran secara rasmi tenaga kerja Indonesia
ke Malaysia. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ramai yang
sering pulang kerana takut menghadapi kesukaran untuk memasuki semula Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan