Gelagat ahli parlimen jadi tontonan rakyat
Oleh Zulkefli Hamzah (Di Jakarta, Indonesia)
SEMASA menonton siaran berita mengenai tingkah laku anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang bertindak di luar etika pada sidang membahas kenaikan harga minyak pada 16 Mac lalu, para penumpang feri Pulau Bawean-Gresik bersorak-sorai.
Pada wajah para penumpang tidak tergambar rasa gelisah atau marah
dengan sikap beberapa wakil rakyat yang berteriak kasar, meluru ke meja
pengerusi dan siku-menyiku untuk membantah sikap Dewan yang tidak memerhatikan
bantahan mereka.
Mereka hanya tertawa menyaksikan adegan itu. Ada yang membuat
komen, betullah seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Presiden Abdurrahman
Wahid (Gus Gur) bahawa DPR tidak ubah seperti taman didikan kanak-kanak.
``Parlimen Indonesia sudah menjadi seperti Parlimen di Taiwan.
Mujurlah belum sampai sehingga tumbuk-menumbuk atau melempar kasut,'' komen
seorang penumpang.
Dari reaksi mereka, banyak yang tidak melihat peristiwa itu
sebagai kejadian memalukan tetapi sebaliknya menikmati kekecohan tersebut
sebagai sebuah tontonan mengasyikkan.
Mungkin reaksi para penumpang feri ini boleh dijadikan gambaran
rasa kurang yakin terhadap wakil rakyat mereka untuk memperjuangkan nasib
rakyat kecil yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak.
Walhal bantahan terbuka fraksi-fraksi parti politik di DPR
sehingga menimbulkan kekecohan ini sepatutnya menjadi lambang gigihnya perjuangan
ahli Parlimen untuk membela nasib rakyat.
Dan jika diteliti lebih dalam, timbul pertanyaan mengenai
kerjasama Parlimen dengan pemerintah terutama dalam mengambil keputusan yang
mempunyai implikasi luas terhadap kehidupan rakyat.
Di luar Dewan, reaksi rakyat yang membantah kenaikan itu juga
sama. Panas dan meluas. Rakyat mengeluh kerana kenaikan harga minyak telah
menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan lainnya.
Di kebanyakan tempat, para penunjuk perasaan yang majoritinya
kumpulan mahasiswa membakar gambar Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib
Presiden, Yusuf Kalla. Ada pula yang mengarak keranda Susilo dan Yusuf sebagai
simbol pemimpin mereka tidak lagi memerhatikan nasib rakyat.
Di dalam dan di luar Parlimen, suasananya sama. Panas dengan
kecaman dan kritikan yang emosional terhadap keputusan pemerintah untuk tetap
menaikkan harga minyak.
Mungkin ada benarnya pendapat seorang diplomatik asing yang
menyatakan demokrasi yang terbentuk di Indonesia sejak lima tahun ini telah
menjadi demokrasi yang sukar dikawal.
Bantahan terhadap kenaikan harga minyak ini sama ada di jalanan
atau di Parlimen sebenarnya bukan kali pertama. Pada tahun 2003, pemerintah dan
DPR juga tidak sependapat dengan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Kemarahan
Bagaimanapun bantahan dan ketegangan hubungan antara DPR dan
pemerintah reda bersamaan dengan menurunnya semangat penunjuk perasaan untuk
meneruskan protes mereka.
Mungkinkah suasana seperti ini akan berulang semula? Mungkinkah
kekecohan yang berlaku di DPR itu hanya sekadar untuk mengalihkan perhatian
bagi meredakan bantahan dan kemarahan masyarakat?
DPR pada sidang itu akhirnya membuat keputusan yang tidak jelas
iaitu kenaikan perlu diteliti semula dalam perbahasan Bajet 2005 yang dijadual
berlangsung bulan depan.
Mungkin di atas kertas, keputusan ini paling selamat buat DPR dan
pemerintah tetapi kenyataannya, harga pelbagai barangan dan perkhidmatan telah
terlanjur mengalami kenaikan.
Rakyat melihat demokrasi yang dibangun di negara ini yang
seharusnya membuka jalan lebih luas ke arah kesejahteraan sehingga sekarang
belum nampak hasilnya. Jumlah rakyat miskin dan kadar pengangguran dilaporkan
semakin bertambah.
Tambah memburukkan keadaan dalam suasana bantahan kenaikan harga
minyak dan kemarahan rakyat berhubung tuntutan bertindih di Laut Sulawesi, para
anggota Dewan menuntut kenaikan gaji.
Mereka menuntut kenaikan gaji satu kali ganda sebanyak RM6,800
daripada yang mereka peroleh sekarang RM6,800 dan bonus RM4,500. Jika kenaikan
itu diluluskan anggota DPR akan menikmati gaji dan bonus sebanyak RM18,100.
Gaji sebesar itu bagi ukuran negara lain mungkin kecil tetapi
dalam suasana sekarang, tuntutan itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang
menyifatkan ia hanya menambah beban rakyat.
Menurut data rasmi dari Badan Pusat Statistik 2004, penduduk
miskin Indonesia telah mencapai jumlah 36.1 juta orang - angka kemiskinan yang
sama pada 15 tahun yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan