MALAYSIA LUBUK EMAS WARGA INDONESIA
Kebanjiran rakyat asing terutama warganegara Indonesia ke negara
ini sejak sekian lama, sama ada secara sah atau haram, banyak membawa perubahan
kepada kehidupan mereka terutama dari segi taraf hidup.
Hakikatnya, kemasukan mereka itu bertujuan mencari pekerjaan
disebabkan di tempat sendiri tiada sebarang pekerjaan disediakan dan berlaku
kemiskinan hidup.
Kemasukan tenaga kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia disebabkan
pembangunan dan kemajuan pesat di negara ini yang seterusnya membuka banyak
peluang pekerjaan seperti dalam sektor perladangan, pembinaan, perkilangan dan
banyak lagi.
Keadaan itu menyebabkan Malaysia umpama `gula' yang dihurung oleh
semut-semut'. Semut-semut di sini umpama rakyat Indonesia, India, Bangladesh,
Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan rakyat dari beberapa negara lagi.
Tidak hairanlah pekerja asing yang masuk ke Malaysia secara sah
direkodkan melebihi satu juta orang.
Disebabkan terlalu banyak peluang pekerjaan untuk direbut, adalah
dianggarkan mereka yang masuk secara haram pula mencecah jumlah yang sama.
Dalam pada itu, mungkin ramai yang hanya mengetahui kehadiran
rakyat asing terutama dari Indonesia telah membawa perubahan besar kepada
Malaysia dari segi pembangunan.
Memang diakui perkara ini terutama apabila dapat dilihat banyak
bangunan pencakar langit berdiri megah seperti Menara Berkembar Petronas dan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia adalah hasil kerja buruh
rakyat Indonesia.
Bagaimanapun, di sebalik pembangunan yang menyediakan ratusan ribu
pekerjaan, malah jutaan juga, ia sebenarnya telah membawa perubahan pada taraf
hidup para pekerja asing itu sendiri.
Perubahan taraf hidup itu memang tidak dapat dilihat di Malaysia,
sebaliknya ia berlaku di Indonesia apabila TKI berkenaan pulang atau menghantar
hasil mereka ke negara asal. Dengan kata lain, nasib rakyat asing yang datang
ke negara ini telah banyak berubah disebabkan peluang-peluang pekerjaan yang
disediakan.
Keadaan ini berlaku apabila mereka yang bekerja di Malaysia itu
menghantar pulang hasil-hasil diperoleh ke kampung halaman untuk dinikmati oleh
ahli keluarga dan sanak-saudara.
Secara langsung, keadaan ini membantu mengurang serta
menyelesaikan masalah dihadapi oleh negara-negara berkenaan.
Oleh itu, penghijrahan rakyat asing ke Malaysia sebenarnya memberi
kesempatan untuk mereka membantu negara sendiri. Adalah dianggarkan bahawa
setiap TKI yang bekerja di negara ini menghantar pulang minimum RM100 setiap
bulan kepada keluarga mereka.
Jika satu juta TKI yang bekerja secara sah berbuat demikian, ini
bermakna lebih RM1.2 bilion hasil diperoleh dari Malaysia telah dihantar ke
Indonesia dalam masa setahun.
Jika satu juta lagi TKI berada di negara ini secara haram,
bermakna jumlah itu adalah dua kali ganda.
Jumlah ini amat besar dan ia merupakan pengorbanan Malaysia dalam
memberi pekerjaan dan membantu rakyat negara jiran.
Seorang TKI, Mawardi Mustapa, 40, yang masih bekerja di ladang
kelapa sawit Felda Hilir 5, Kuantan, Pahang, mengakui dia dapat menghantar
kira-kira RM2,000 setiap tiga bulan.
Jelasnya, jumlah wang itu mampu menampung isteri dan tujuh anaknya
selama tiga hingga enam bulan.
``Saya juga dapat membina rumah batu. Jika dulu rumah kami dibuat
dari buluh.
``Saya juga dapat beli dua hektar tanah dan motosikal,'' katanya
ketika ditemui Barat Kokok Majidi, 60 kilometer dari Mataram, Nusa Tenggara
Barat, Indonesia.
Penjelasan Mawardi itu bermakna jumlah sebenar hasil dibawa pulang
oleh TKI melebihi RM1.2 bilion.
Keadaan ini terbukti benar jika kita meninjau pembangunan dan
kemajuan di kebanyakan tempat di Indonesia. Antaranya termasuklah Pulau Bawean
dan Mataram.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pulau Bawean seluas 194 kilometer
persegi mendapati rata-rata penduduknya mengakui bahawa rumah batu, jalan raya
dan masjid di situ adalah hasil yang diperoleh dari Malaysia.
Malah, penduduk
mengakui setiap mereka mempunyai ahli keluarga yang masih bekerja di Malaysia
atau setidak-tidaknya pernah bekerja di sana.
``Ini semua hasil dari Malaysia. Rumah batu, masjid dan
tanah-tanah yang dibeli penduduk adalah wang hasil diperoleh bekerja di
Malaysia,'' kata guru Sekolah Dasar Negeri, Jamari Abdullah, 57.
Sesuatu yang menarik, ada beberapa rumah batu milik penduduk itu
ditinggalkan disebabkan penghuninya masih bekerja di Malaysia.
Kemewahan diperoleh oleh penduduk Pulau Bawean yang sering
berulang-alik ke negara ini telah membawa kepada masyarakatnya mewujudkan
komuniti Boyan di Malaysia. Ini memang diketahui umum.
Begitu juga tinjauan di beberapa tempat di Mataram, seperti Desa
Jelatang Gegerung, Barat Kokok Majidi dan Desa Gunung Raja, Lombok Timur.
Rata-rata penduduk di situ mengakui peluang pekerjaan di Malaysia
telah mengubah nasib serta kehidupan mereka.
Ketua Kampung Barat Kokok Majidi, Muhamad Amin Ahmad Shukor, 70,
berkata, wang diperoleh daripada ratusan penduduk kampung itu yang bekerja di
Malaysia telah membawa pembangunan drastik.
``Dulu hanya jalan tanah untuk pejalan kaki tetapi kini kita dapat
bina jalan tanah mereka yang boleh dilalui kereta atau van.
``Dulu rumah penduduk hanya buluh tetapi kini sudah batu. Masjid
pun sudah berubah,'' katanya.
Banyak lagi pengakuan penduduk Indonesia yang boleh dicatatkan
mengenai perubahan yang dialami mereka setelah bekerja di Malaysia.
Ini termasuklah kemahiran daripada hasil kerja diperolehi hingga
ada yang berjaya membuka kedai runcit, pasar mini, mengerjakan kebun sendiri,
menjadi pemandu van dan banyak lagi.
Perubahan pada TKI itu telah membawa perubahan besar pada
kehidupan penduduk Indonesia yang menjadi jiran akrab Malaysia.
Dengan kata lain, kemajuan, pembangunan dan kekayaan dimiliki oleh
Malaysia selama ini turut dinikmati bersama oleh rakyat Indonesia.
Walaupun keadaan itu tidak dapat dilihat secara mata kasar di
Malaysia tetapi hakikatnya ia adalah sesuatu yang benar apabila kita pergi
meninjau di Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan