LEBIH SEJUTA PATI MEMBANJIRI NEGARA MALAYSIA
KUALA LUMPUR 23 Julai Kadar upah lumayan sehingga
mencecah RM4,000 sebulan terutama dalam sektor pembinaan merupakan faktor utama
lebih sejuta pendatang asing tanpa izin (PATI) membanjiri negara ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka juga tertarik untuk
bekerja di negara ini yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dan kehidupan
yang jauh lebih stabil berbanding di negara mereka.
Bagi warga Bangladesh, Mohd. Akhter Md. Shahalam, 30, dia mahu
terus tinggal di Malaysia kerana mampu menghantar kira-kira RM2,000 setiap tiga
bulan sekali kepada keluarga.
Katanya, RM2,000 bersamaan dengan 40,000 Taka Bangladesh dan ia
dapat memberi kesenangan hidup kepada keluarganya di negara asal.
Beliau berkata, Malaysia merupakan lubuk emas yang diimpikan oleh
semua warga asing terutamanya dari negara-negara mundur.
Di sini, begitu mudah untuk memperoleh wang dengan syarat
bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Bahasa Malaysia saya juga semakin baik setiap hari dan ia
merupakan bahasa yang paling mudah dipelajari, katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan muka depan akhbar ini hari ini
mengenai lebih 300,000 warga asing yang dilaporkan tinggal di negara ini dengan
menyalahgunakan permit mereka.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak
Mohamed yang mendedahkan perkara itu berkata, warga asing terbabit pada mulanya
memasuki ke negara ini secara sah, tetapi tidak pulang setelah permit bekerja
atau belajar mereka tamat tempoh.
Warga Indonesia, Marju Munari, 36, berkata, beliau kini dapat
menghantar wang ke negaranya setiap dua bulan sekali.
Sekarang saya sudah mampu menyewa sebuah rumah di sini dan saya
rasa selamat berada di negara ini tanpa rasa bimbang untuk bekerja, ujarnya.
Warga Nepal, Sontos B.K., 22, memberitahu, Malaysia amat sesuai
untuk dijadikan tempat tinggal kerana negara ini aman.
Negara ini cukup aman berbanding di negara saya malah ia
menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, katanya.
Sementara itu, warga Indonesia, Maria Razak, 43, berkata, selain
memperoleh pendapatan yang lumayan, warga asing masih dapat tinggal di negara
ini dengan baik kerana rakyatnya pemurah dan boleh bertolak-ansur.
Beliau bangga menjadi penduduk tetap dan tinggal di sini melebihi
23 tahun, malah ketiga-tiga anaknya sudah menjadi warganegara Malaysia.
Negara ini tidak sama seperti negara lain. Di sini aman dan
semua orang boleh mencari pekerjaan asalkan rajin, ujarnya yang berasal dari
Bawean, Indonesia.
Mohd. Subhan, 31, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia berkata,
terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara ini termasuk
sebagai tukang cuci.
Kalau di negara saya amat sukar jika mahu mencari peluang
pekerjaan, kalau ada hanya untuk golongan tertentu sahaja. Paling penting kita
tak memilih pekerjaan, katanya.
Seorang lagi warga Indonesia, Osman Abdullah, 36, berkata, ramai
warga asing memasang impian mahu berhijrah ke negara ini yang menjanjikan
mereka masa depan lebih cerah.
Tetapi tindakan mereka tinggal di negara ini tanpa permit adalah tidak
wajar kerana ia jelas tidak menghormati undang-undang, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan