ORANG BAWEAN MASUK PARTI UMNO PADA TAHUN 1946
Oleh AZMAN ANUAR
Esok sebahagian ahli UMNO akan menyambut tarikh keramat parti itu dengan
memasang bendera parti, mengadakan majlis membaca surah Yasin, doa selamat dan
ceramah serta ucapan bagi memperingati hari kelahiran UMNO.
Di peringkat pusat
majlis sambutan perayaan itu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Mengimbau nasihat Presiden UMNO yang kelima, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad, beliau beberapa kali sudah mengingatkan 2.7 juta ahli UMNO
supaya selalu memperingati sejarah perjuangan parti yang dirintis oleh datuk
nenek dan ibu bapa mereka sehingga membolehkan kita sekarang menikmati hasil
yang diperjuangkan oleh mereka selama ini.
Presiden UMNO itu juga berkali-kali menyarankan supaya golongan
muda didedahkan dengan sejarah pahit maung yang dideritai oleh orang Melayu
terutama semasa zaman penjajahan.
Lalu kita boleh persoalkan, apakah yang dibuat oleh pemimpin UMNO
di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk mematuhi saranan dan arahan
Dr. Mahathir itu?
Dalam pertemuan Utusan Malaysia dengan bekas Setiausaha Agung UMNO
(1978-1984), Tan Sri Mustapa Jabar, 80, di kediamannya baru-baru ini, beliau
menasihatkan supaya ahli UMNO patut mengenang jasa orang yang menubuh dan
berjuang untuk parti sebelum ini.
Menurut Mustapa, ahli-ahli UMNO sekarang patut kenang tokoh-tokoh
teras yang mewujudkan parti itu. Mustapa yang 56 tahun dahulu berperanan
sebagai jurutulis UMNO semasa pertemuan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei
1946, menyatakan terdapat 52 nama pengasas UMNO yang mewakili 29 persatuan
sebelum parti itu diwujudkan.
Malah kata Mustapa, masih ramai orang tidak tahu bagaimana UMNO
ditubuhkan.
``Kita patut mencatatkan nama-nama orang yang hadir pada masa itu
untuk mengenang jasa mereka,'' katanya.
Dengan berpandukan catatan tulisan jawi pada beberapa helaian
kertas seperti kertas buku sekolah, Mustapa membacakan 52 orang yang berjasa
hingga kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946 yang majlis itu dirasmikan oleh Tengku
Mahkota Johor, Tengku Ismail.
Menurut Mustapa, Persatuan yang diwakili dan nama tokoh UMNO yang
menghadiri majlis tersebut pada 11-12 Mei 1946 adalah seperti berikut:
1. Saberkas Kedah - Datuk Senu Abd. Rahman dan Muhd. Jamil Binjal.
2. Persatuan Melayu Kedah - Rajam Darus, Ahmad Abdullah.
3. Persatuan Melayu Singapura - Abdul Rahim Ibrahim, Abdul Hamid
Jumat.
4. Persatuan Melayu Pahang - Mohd. Nor Sulaiman.
5. Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka - Ahmad Jamal, Ali
Mohamad.
6. Persatuan Melayu Pulau Pinang - Ibrahim Mahmud, Pak Cik Ahmad.
7. Persatuan Melayu Seberang Prai - Ahmad Maliki, Hashim Awang.
8. Persetiaan Melayu Kelantan - mewakilkan kepada Datuk Panglima
Bukit Gantang.
9. Persatuan Melayu Perlis - Tahrim Ibrahim, Salleh Osman.
10. Persekutuan Melayu Negeri Sembilan - Tunku Hussein Tunku
Yahya, Raja Noordin Raja Deli.
11. Perikatan Melayu Perak - Panglima Bukit Gantang, Zainal Abidin
Abas.
12. Persatuan Melayu Perak - Datuk Muda Wan Mohd Nor Tahim, Tahir
Setia Raja.
13. Persetiaan Muslim Teluk Anson - Saharom Muhyiddin.
14. Persatuan Melayu Chenderiang - Raja Lob Saharuddin Mohamad.
15. Kesatuan Muhibah Malim Nawar - Ahmad Abdullah, Mokhtar Sultan
Laidin.
16. Parti Kebangsaan Melayu Malaya - Dr. Burhanuddin Mohd. Nor,
Zulkifli Auni.
17. Pergerakan Melayu Semenanjung Johor - Dato' Onn Jaafar, Syed
Kadir Mohamad, Abdul Manap Buyong.
18. Persatuan Melayu Kluang - Kapt. Ahmad Ahmad Dom, Abu Bakar
Abd. Hamid.
19. Persatuan Melayu Selangor - Yunos Hamidi, Abdul Samad Ahmad
(Kedua-duanya wartawan).
20. Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor - Datuk Hamzah Abdullah,
Ismail Mat Shah.
21. Ikatan Setia Kampung Baru - Zainal Abidin Othman, Zaleha Muhd.
Ali (kakak Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali).
22. Kelab Peranakan Pulau Pinang - Baginda Buyong, Lop Ahmad.
23. Dewan Perniagaan Melayu Selangor - Ramli Tahir, Ali Arshad.
24. Persatuan Penghulu-penghulu Selangor - Raja Abdul Rahman Raja
Yusof, Raja Ismail Raja Ibrahim.
25. Kelab Darul Ehsan Jeram - Othman Muhd. Sharif, Omar Hassan.
26. Persatuan Kaum Ibu Selangor - Fatimah Musa, Zaharah Tamim.
27. Persekutuan Bawean Selangor - Ahmad Hassan, Mas'od Zubir.
28. Persekutuan Melayu Hulu Selangor - Nordin Nawi, Yahya Mohd
Sani.
29. Persatuan Melayu Sabak Bernam - Mohamad Muhd Ali, Lop Salleh
Noh.
Mereka inilah mengasas dan memutuskan kewujudan UMNO yang ada
hingga ke hari ini.
``Ahli-ahli UMNO sekarang semakin menonjol ke hadapan tetapi
nama-nama inilah yang dulu bersusah payah,'' kata Mustapa.
Menurut bekas Timbalan Menteri Pertanian ini lagi, penubuhan UMNO
adalah berikutan daripada Kongres Melayu yang ketiga yang diadakan di Istana
Besar Johor Bahru.
``Kongres Melayu yang pertama ialah ketika kita menentang Malayan
Union. Di sana ada 107 orang wakil daripada 41 persatuan,'' kata Mustapa yang
masih kuat ingatannya tentang sejarah lampau.
Perhimpunan Kongres itu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Bagi
majlis julung kali diadakan 1-4 Mac 1946 itu, Mustafa adalah setiausahanya.
Kongres Melayu kedua pula diadakan secara tergempar untuk
menentang pelantikan Gabenor Malayan Union. Perhimpunan yang lebih berbentuk
tunjuk perasaan diadakan di Hotel Station (di bangunan Keretapi Tanah Melayu
Berhad) iaitu tempat penginapan semua raja-raja Melayu ketika itu.
``Kami menahan raja-raja Melayu daripada hadir dalam upacara
pelantikan Gabenor Malayan Union. Jadi selepas itu raja-raja Melayu tidak jadi
pergi.
``Kami semua bawa sepanduk, tahan tuanku-tuanku jangan pergi.
Patik semua tidak benarkan tuanku pergi. Bila kami bangkang, raja-raja setuju
dan Malayan Union tidak jadi akhirnya,'' cerita Mustapa.
Pada masa itu, kata Mustapa terdapat 3,000 orang yang berhimpun di
hotel tersebut.
``Cukup berani betul kami pada masa itu. Polis pun tak tangkap
orang,'' tambah Mustapa sambil ketawa.
Itu cerita tokoh veteran UMNO yang sama-sama lahirkan UMNO. Tetapi
segelintir pemimpin yang mendapat darjat dan kemewahan sekarang tidak lagi
menghormati hari kelahiran UMNO. Justeru bagaimana kita hendak mengharapkan
ahli-ahli akar umbi dapat merasa apa-apa gelombang bila tiba tarikh keramat 11
Mei setiap tahun. Generasi sekarang yang lahir selepas 56 tahun UMNO berjuang
dan menempa kejayaan dan kemakmuran negara ini, sebenarnya sudah tidak merasai
semangat susah payah dan pengorbanan pejuang-pejuang bangsa Melayu dahulu.
Selain hari keramat untuk UMNO, patut kita hormati orang yang
berjuang pada masa itu. Untuk menghormatinya kita perlu mengingati nama-nama
itu.
``Dulu kita berjuang untuk bebaskan negara dan bangsa daripada
dijajah. Tetapi sekarang ahli UMNO banyak berjuang atas sebab (hubungan)
global. Dalam pada itu kita tidak boleh lupakan akar umbi.'' kata Tan Sri Aziz
Stapa ketika dihubungi di Melaka.
Banyak bangsa di dunia ini sering berperang dan bermusuhan sesama
sendiri akibat mereka cepat lupa pada sejarah yang mencatatkan punca sebab dan
akibat sesuatu peristiwa itu akan berlaku dan mungkin berulang semula.
Walau seberapa kuat UMNO, semangat ahli UMNO perlu sentiasa
dipulihkan dan dipertingkatkan.
Bagi tujuan itu, tidak dapat tidak ahli UMNO
mesti menghayati sejarah parti dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu
supaya ia menjadi iktibar dalam sebarang langkah dan tindakan mereka pada masa
kini dan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan