Nadir miliki 120 hektar tanah hasil bekerja di Malaysia
Ditulis oleh: ZULKIFLI HAMZAH dan AMIR SARIFUDIN
Info dari : Utusan malaysia
|
Berkat kerja keras selama14 tahun semasa merantau di Malaysia, Nadir Ahmad, 62, kini boleh berbangga
kerana dapat memiliki tanah lebih 120 hektar di pulau ini.
Nadir membeli tanah tersebut sedikit demi sedikit daripada
penduduk kampung atau tanah milik kerajaan setiap kali pulang bercuti,
sekurang-kurang empat atau enam bulan sekali.
``Setelah bekerja kontrak selama beberapa tahun, saya
memilih berniaga pakaian dan barang-barang kemas secara kecil-kecilan. Pakaian
dan barang kemas saya beli dari Woodlands, Singapura dan dijual di sekitar
Kuala Lumpur.
``Wang itulah saya belikan tanah di Bawean. Kalau orang
bertanya saya selalu beritahu tanah-tanah itu saya peroleh hasil bekerja di
Malaysia,'' katanya yang mula merantau ke Malaysia pada 1970-an.
Nadir yang memang berasal daripada keluarga berada di Pulau
Bawean dan mewarisi lebih 100 hektar lagi tanah daripada orang tuanya, sejak
remaja mempunyai semangat berniaga kerana selain bertani, dia menjual haiwan
ternakan dan barang kemas di kampungnya.
Seperti masyarakat Bawean lainnya, Nadir mempunyai hubungan
rapat dengan Malaysia. Daripada enam adik-beradiknya, dua kini bekerja di
Malaysia termasuk seorang yang sudah menjadi warganegara Malaysia.
``Dulu empat adik saya di sana, dua pulang ke Bawean. Dua
anak saya juga bekerja di Malaysia sebagai kontraktor dan seorang lagi bekerja
di restoran,'' ujarnya yang ditemui di rumah menantunya yang bekerja di Brunei,
di Desa Teluk Galam, Sangkapura.
Dia yang menunaikan ibadah haji dua tahun lalu, memutuskan
merantau ke Malaysia kerana peluang pekerjaan yang begitu terhad di kampungnya.
``Kalau untuk makan dan minum memang lebih dari cukup.
Bawean ini kaya dengan hasil pertanian dan perikanan tetapi kalau mahu lebih
dari itu susah dan jalan terbaik ialah merantau,'' katanya.
Di Pulau Bawean, Nadir merupakan antara kelompok awal yang
merantau ke Malaysia dan dia juga sering membawa orang kampungnya untuk mencari
nafkah di Malaysia atau Singapura.
Alhamdulillah berkat rezeki dari Malaysia saya dapat
tambahkan harta,'' katanya yang mempunyai dua buah rumah di Pulau Bawean dan
kini sedang mempromosikan batu marmar yang banyak terdapat di pulau tersebut.
Walaupun tahun berganti tetapi katanya, keadaan ekonomi di
Pulau Bawean masih seperti dahulu dengan para penduduk masih mengharapkan untuk
bekerja di Malaysia bagi mengubah taraf hidup.
Nadir berkata, mengikut rancangannya, dia berharap kedua-dua
anaknya pulang ke Bawean untuk membangunkan tanah yang ada tetapi mereka
memilih terus tinggal di Malaysia memandangkan jaminan masa depan yang lebih
baik.
``Anda lihat apa yang ada di Bawean. Rumah memang nampak
mewah tetapi dari segi prasarana dan pembangunan jauh tertinggal. Jangan
bandingkan dengan pulau-pulau di Malaysia, di sini masih terlalu banyak yang
diperlukan,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan